Thursday, June 9, 2011

BINGKISAN YANG TERLEWAT

Assalamualaikum bertemu kembali dalam coretan kali ini setelah lama tidak bersua....ana aasif...untuk kali ini,tidaklah semenarik mana pon entri ini tapi hanya sebagai cicipan minda anda.Saya sajikan intisari kali ini dengan ulasan dua buah novel yg paling disukai ramai dan diminati oleh peminat hasil karya Ust A.Ubaidillah Alias ni.


Sebenarnya ulasan ni saya sediakan untuk dihantar ke pertandingan mengulas novel namun apakan daya,rezeki tidak menyebelahi mungkin...saya terlewat tarikh tutupnya...Jadi,tanpa mensia2kan keringat saya mengulas novel nih,apa kata saya letak dlm blog ja..trplang kpd anda....









ULASAN NOVEL MENGINTAI CINTA KHALIFAH



Novel ini mengetengahkan kisah dan situasi mutakhir yang hangat diperkatakan pada zaman era globalisasi kini di samping cereka cinta berlandaskan syariat yang didambakan oleh Sang arjuna  iaitu watak utamanya, Imran yang sedang mencari-cari legasi al-khalifah yang sebenar. Penulis melakarkan tiga watak utama juga penggerak cerita  dalam kisah ini iaitu Imran,Laila dan Nanda Gracer.

Selain itu, penulis menggunakan latar dan keindahan negeri digelar ‘Serambi Mekah’ iaitu Negeri Kelantan dalam novel ini jadi pembaca dapat menilai dan membayangkan sendiri bagaimana indahnya hidup di bumi Tuhan ini di samping ketamadunan islamnya yang unggul. Nah,maka itulah penulis membocorkan agenda-agenda rahsia lagi jahat segalanya tentang organisasi-organisasi yang dibangunkan untuk menjatuhkan umat Islam hari ini.Tamsilnya,Kelantan dijadikan sebagai pemula dalam kisah ini untuk diselongkarkan kelemahan-kelemahan Islam kita bagi menerapkan dakyah-dakyah zionis mereka seperti racun yang dititikkan ke dalam minuman sebelum diminum. Antaranya agenda Freemason yang semakin popular mutakhir ini disebalik topeng Yahudi yang bukan kita tidak tahu semakin lama semakin mencucuk seperti duri dalam daging.Mereka sedaya upaya dengan giatnya menyerapkan lima senjata untuk menyerang pemikiran  masyarakat Islam kini iaitu sex,screen,sport,smoke and song supaya menjadi lebih efektif dan semakin membunuh golongan Islam kita apatah lagi pemuda pemudi Negara kita. Sudahnya,dengan permainan kotor mereka ini,impak yang diperoleh sungguh lumayan.Lihat sahaja dewasa ini sungguh ramai belia remaja kita telah kehilangan identiti dan mencari-cari arah tuju hidup sendiri.Kerana apa?Kerana pemikiran mereka telah diorganisasikan oleh agenda busuk itu.Lihatlah! Secara automatiknya remaja kita membuang agama Islam sesuka hati mereka seterusnya menjadikan budaya ‘Hedonisme’dan –isme-isme’ yang lain sebagai paksi mereka bertuhan.Inilah senario mutakhir yang dimaksudkan di atas tadi. Senator Illuminati merupakan pemikir atau tulang belakang kepada Freemason.Itu yang penulis benar-benar tekankan waima dengan membongkar kembali sejarah-sejarah lama sekalipun.Pembaca dapat mengetahui input-input tentang Freemason yang semakin meluas ini melalui novel ini.

Tambahan juga,penulis juga ada mengetengahkan tentang adab-adab berkasihan dan membentuk Baitul Muslim dalam ruang lingkup agama kita sendiri. Di samping itu juga,penulis ada menzahirkan penggarapan surah-surah Al-Quran dalam kehidupan seharian kita sendiri di samping juga hokum-hukum agama juga ada diselitkan misalnya hokum menutup aurat. Maka dengan elemen-elemen seperti itulah telah menggazetkan sebenarnya betapa indahnya agama Islam itu sendiri kerana Islam mempunyai Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah dan Islam juga agama yang mempunyai undang-undang yang mana merangkumi semua aspek dan ruang lingkup kehidupan. Malah semua etika,batasan dan perundangan ini bersumberkan Al-Quran dan hadis.Bukan sekadar tin kosong. Inilah persoalan-persoalan dan tajuk utama yang ingin dizahirkan oleh penulis melalui watak utamanya iaitu Imran yang mana mencari-cari erti seorang khalifah itu untuk menyampaikan kebenaran sekaligus ingin membiaskan cinta itu menjadi sebuah legasi menuju syurgawi.Jadi,perwatakan-perwatakan yang baik diserapkan dalam personaliti Imran tetapi selagi namanya manusia,mana mungkin ada yang sempurna. Dia juga ada melakukan kesilapan pada permulaan cerita yang mana dia menyambut cinta  Laila yang mana ketika itu masih di alam persekolahan,masih remaja yang mencari arah tuju.Penah tersesat namun dia bangkit mencari sekelumit semangat apabila berkeputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir sekaligus mencari Nur yang hilang pada dirinya.Walaupun Laila menghalangnya demi tidak rela kekasihnya menjadi seorang agamawan.Lantas Laila memutuskan untuk berkahwin dengan Izani,sebagai watak sampingan. Malangnya,Laila tersilap percaturan. Hidupnya terkandas di tengah lautan.

Sementelahan itu,watak ketiga iaitu Nanda Gracer,seorang pengkaji kelemahan sifat insan seorang Islam itu juga masih mencari-cari hakikat manusiawi sebenar melalui perhubungan dengan watak utamanya iaitu Imran. Nanda seorang pengkaji dan juga seorang suruhan yang baik kepada ketuanya tetapi sekian lama terperangkap dalam abdi kini dan mengintai-intai peluang untuk melepaskan dirinya daripada kancah agenda jahat Illuminati itu dan sekaligus menarik diri untuk terus bersubahat. Jadi dengan bantuan Imran, dia memasang langkah yang sistematik bagi mencuci tangannya daripada darah-darah jahat itu.

Pada pengakhiran cerita ini,penulis merangkumkan semua lelah-lelah dugaan dan cabaran itu sebagai bunga-bunga kebehagiaan apabila Laila kembali disunting sebagai permaisuri hatinya dan sekaligus memberi pengakhiran yang baik kepada novel ini. Jadi pembaca sangat berpuas hati dengan kisah dan persoalan-persoalan yang tersingkap satu persatu ini. Jalan ceritanya yang ditampilkan oleh penulis juga berbeza sambil pembaca dapat menyelami ilmu yang terdapat di dalamnya. Bak kata pepatah ‘Sambil menyelam minum air’.

Sebagai kesimpulannya,saya sebagai pembaca sangat gembira dan sungguh berpuas hati dengan novel ini. Di samping,harganya yang tidak terlalu membebankan,segala isi kandungannya amat bermakna.







ULASAN NOVEL KALA CINTA & WAHYU BERSATU




Novel ini merupakan kesinambungan kisah daripada novel Warkah Cinta Berbau Syurga.Dalam episod kisah kali ini pula,penulis menampilkan banyak watak yang tidak kurang pentingnya seperti watak utamanya iaitu Amir Mukhlis,Balqis dan watak-watak yang lain seperti Wardah,Tasnim dan Ustaz Hamdi. Penulis melakarkan cerita yang mana Amir Mukhlis yang mengembara ke Bumi Kinanah mencari selautan ilmu yang mampu namun terpaksa pulang ke Malaysia untuk bertarung antara hidup dan mati namun penulis menghadirkan watak Ustaz Hamdi untuk Amir bagi meniupkan semula semangat Amir untuk terus berjuang dalam hidup.

Tambahan lagi,penulis juga menghidupkan watak-watak cinta yang mendesak dan menuntut kasihnya si Amir Mukhlis. Antaranya,watak Balqis yang berniat murni untuk mencari pemuda yang mempunyai sifat-sifat khalifah seperti Amir sebagai pasangan hidupnya. Balqis juga merupakan penuntut Al-Azhar. Namun begitu, liku-liku hidup Balqis juga diwarnai dengan hadirnya pemuda bernama Izzudin yang mengharapkan kasihya Balqis tetapi Balqis masih jua mendambakan dan berdoa supaya dipertemukan dengan seorang pria sebaik Amir Mukhlis itu. Selain itu,jambatan kisah cinta tidak hanya ternoktah antara Amir Mukhlis dengan Balqis namun diwarnai juga dengan cinta Amelia,iaitu sepupu Amir Mukhlis dan juga teguhnya legasi cinta Wardah yang ingin dimerdekakan oleh Tasnim. Secara tuntasnya,pelbagai persoalan cinta yang ingin dibicarakan oleh penulis dalam novel ini.Penulis juga ingin sekali menekankan bahawa aktiviti penulisan juga tidak harus dipandang enteng dalam kehidupan yang serba rencam sekarang ini.Buktinya,penulis meletakkan watak  Amir yang menyertai aktiviti penulisan sebagai wadah perluasan dakwah kerana Allah itu. Nah! Disitulah bermulanya bibit pertemua antara Tasnim dengan Amir yang sama-sama memperjuangkan dakwah melalui penulisan.

Sementelahan juga,cinta Amelia juga hadir menghimpit fikiran Amir Mukhlis.Keluarga Amelia dan keluarga Amir masing-masing sudah memeterai janji bahawa mereka akan disatukan namun Amir menarik hatinya daripada digapai oleh Amelia kerana baginya Amelia sudah dianggap seperti saudara sendiri. Persoalan-persoalan cinta yang diwujudkan oleh penulis inilah menjadikan novel ini lebih menarik dan berwarna-warni. Benarlah yang dikatakan oleh penulis Ilham Hamdani itu bahawa “kalaulah karya-karya A.Ubaidillah Alias ini adalah musim-musim berempat,novel ini Kala Cinta & Wahyu Bersatu ini adalah musim seminya,berwarna-warni!”.Nah,sudah terang lagikan bersuluh.Novel ini sangat mantap dan membuka pemikiran remaja muda-mudi zaman sekarang untuk melakarkan cinta mereka seperti yang dikehendakkan oleh syariat. Oleh sebab itulah,novel ini menjadi novel Islami “mesti baca” oleh semua remaja kita. Diselitkan juga adab-adab berkasihan yang sepatutnya dan juga rangkaian-rangkaian doa kepada Allah supaya mendapatkan perkara yang baik-baik. Tidak seperti yang dilihat pada zaman sekarang, gejala sosial semakin meluas kebejatannya,jadi inisiatif para penulis seperti Ustaz Ubaidillah ataupun Ustaz Cinta ini yang bertujuan menyelami hati muda-mudi zaman ini dan menggunakan pendekatan yang baik untuk menyebarkan ilmu dan dakwah perlu diteruskan dan dicontohi oleh penulis lain atau para pembaca.Jadi,pahala dapat dihimpunkan disitu.InsyaAllah!.

Kesimpulannya,novel dan karya seperti ini sangat bagus dan bermanfaat buat tatapan para pembaca yang bebas daripada khayalan-khayalan cinta yang mengasyikkan sekaligus mendatangkan mudarat kepada diri sendiri,alangkah baik jika kita telusuri kisah-kisah yang membawa kebaikan seperti ini.Penulis merupakan seorang penggerak dunia penulisan yang bagus dan sangat berbakat malah berpotensi untuk melangkah dengan lebih jauh.InsyaAllah saya doakan kepada penulis A. Ubaidillah Alias.Tahniah dan syabas kepadanya!






1 comment:

  1. Alhamdulillah...segala puji bg Tuhan....ulasan ini telah diterima oleh mereka...walaupon kelewatan namun masih ada sinar buat saya...bukan ganjaran yg saya kejarkan tetapi ilmu yg berguna dalam mengasah penulisan saya lebih berhrga dri segalanya....semoga kesempatan membuka ruangnya sekali lg...InsyaAllah...Amin Ya Rabb...

    ReplyDelete