KALAM PEMULA

ALLAH'S LOVE

BICARA HIKMAH

MAI JENGUK SAT!

Showing posts with label BAHASA ITU CERMINAN BANGSA. Show all posts
Showing posts with label BAHASA ITU CERMINAN BANGSA. Show all posts

Thursday, May 30, 2013

Soalan KNDBP: Salam. Minta penjelasan..apakah 

kata honorifik yang betul bagi gelaran Dato' atau 


Datuk..? saya keliru sama ada Dato' Joseph Salang 


Gandum atau Datuk Joseph Salang Gandum?





Jawapan KNDBP: Untuk makluman tuan, Gelaran 


Dato' dianugerahkan oleh negeri bersultan/beraja 


dan gelaran Datuk dianugerahkan oleh negeri tidak 


bersultan/beraja atau Wilayah/Kerajaan 


Persekutuan. Oleh itu, jika gelaran tersebut 


diperoleh daripada kerajaan Negeri Sarawak, maka 


gelaran yang betul ialah Datuk.




SUMBER : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA





sumber  DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

Monday, July 18, 2011

PONDOK MENJADI BANGSAL,BANGSAL ADA DI HUJUNG DESA,USUL MENUNJUKKAN ASAL..BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA...


Asal perkataan Allah dan maksudnya...


Al-ALUSI dalam Ruh al-Ma'ani berkata: "Asalnya dari I'lali ialah ilah seperti dalam al-Sihah ataual-Ilalah seperti dalam al-Kasyaf yang kedua-duanya mempunyai hujah."


Al-'Allamah al-Sa'd berkata: "Sesungguhnya Tuhan atau ilah adalah nama yang difahami secara kulli yang disembah dengan sebenarnya sedangkan Allah adalah ism alam bagi zat-Nya."


Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Usul al-Iman wa al-Islam berkata: "Allah bermaksud bahawa Dia Maha Berkuasa atas segala makhluk-Nya dan bahawa dia tidak berlaku kecuali mengikut kehendak-Nya. Dan bahawa Dia Maha Menguasai dan Maha Perkasa yang tidak boleh dikalahkan dan bahawa Dia Maha Berkuasa yang tidak boleh dilawan dan di atasi dan tidak


sah taklif kecuali daripadanya."


Ulama tauhid berkata: "Allah adalah ism alam (nama khas) kepada zat yang Maha Sempurna iaitu Allah SWT sedangkan makhluk ialah sifat yang mungkin ada dan dia adalah selain daripada Allah SWT."


Allah adalah ism alam yang menunjukkan atas zat di mana semua nama Allah yang mulia terhimpun pada Allah. Allah ialah nama-Nya Yang Maha Agung.


Al-Khazin dalam tafsirnya berkata: "Allah adalah nama khas bagi Allah yang bersifat Tunggal dan Esa, tiada musytaq (terbitan) dan tidak disekutukan oleh sesuatu."


Dalam Tafsir Hadaiq al-Rauh al-Raihan menyebut: "Allah maknanya yang berhak diibadat,


tidak kepada yang lain."




Konteks Bahasa Melayu


Prof. Syed Mohd Naquib al-Attas menyebut: "Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan."



Bahasa Melayu merujuk kepada bangsa Melayu. Rumpun bangsa Melayu adalah sinonim dengan agama Islam. Berdasarkan kepada bukti sejarah dan artifak jelas menunjukkan bahawa Tanah Melayu telah menerima Islam sejak abad ke-7, 8 dan 9. Ini terbukti dengan penemuan


Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 22 Februari 1303M.


Pemerintahan Islam bermula di Tanah Melayu dengan tertegaknya Kesultanan Melayu Melaka

pada 1414M yang menjadikan Islam sebagai agama negara.


Begitu juga seperti yang diketahui umum berdasarkan fakta sejarah bahawa perundangan di Tanah Melayu sebelum kolonial juga berasaskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang 99.


Pengaruh Islam di Tanah Melayu juga membawa masuk kalimah-kalimah Arab ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah Arab digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu seperti nama-nama hari dan lain-lain. Tulisan jawi juga sebagai lambang pengaruh Islam yang kuat kepada umat Melayu.


Bahasa Melayu itu juga lahir daripada rahim agama Islam. Perlembagaan dalam perkara 160 (2) menetapkan orang Melayu mestilah beragama Islam. Oleh itu, kerana kalimah Allah adalah istilah yang telah diserap dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.


Dengan sebab itu ia membuka ruang agama lain menggunakan kalimah 'Allah' akan mengubah maksud asal kalimah 'Allah' menurut bahasa Melayu.


Justeru, jika dibenarkan Kristian menggunakan kalimah 'Allah' maka makna asal 'Allah' dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (iaitu Tuhan Yang Maha Esa) terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus/ Tuhan Berhala/ Tuhan Bapa/ Tiga Tuhan Bersatu (Triniti). Tidakkah ini mencelarukan?



Perkataan ahad adalah sama dengan wahid yang memberi maksud ke-Esaan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Abu Ubaidah, sedangkan sebahagian ulama membezakannya.


Abu Sulaiman al-Khattabi berkata: "Wahid menunjukkan ke-Esaan pada zat tanpa sebarang tandingan, sedangkan ahad pula bersifat tunggal dengan maknanya tanpa disekutukan oleh seseorang."


Sayid Qutub berkata: "Itulah hakikat ke-Esaan kewujudan Allah SWT. Di sana tiada hakikat melainkan hakikat Allah SWT. Tiada kewujudan hakiki melainkan kewujudan Allah SWT. Segala maujud yang lain adalah mengambil kewujudan mereka dan kewujudan Allah SWT yang hakiki."


Ia juga merupakan hakikat ke-Esaan Pencipta yang tiada tandingannya. Itulah akidah hati nurani dan itulah juga pentafsiran bagi kewujudan alam. Apabila pentafsiran ini mantap dalam hati dan kefahaman ini jelas dan terang maka bersihlah hati dari segala kepercayaan yang karut dan dari segala pergantungan dengan yang lain dari zat Allah SWT.


Iaitu hati bersih daripada pergantungan dengan sesuatu yang lain. Justeru, tiada hakikat bagi sesuatu kewujudan kecuali kewujudan Ilahi dan tiada hakikat bagi sesuatu kuasa pencipta kecuali iradat ilahiah sahaja. Tiada ertinya bergantung dengan sesuatu yang tidak mempunyai sebarang hakikat bagi kewujudannya dan sebarang hakikat bagi kuasa pencipta-Nya.


Bagi siapa yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, sila rujuk buku Keabsahan Penggunaan Nama Allah SWT Hanya Untuk Orang Islam terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.


Apabila hati telah bersih dari segala perasaan terhadap yang lain dari hakikat Allah yang tunggal dan bersih dari pergantungan kepada yang lain dan hakikat Allah, maka ketika itu ia akan bebas dari segala belenggu dan ikatan, keinginan nafsu yang menjadi punca segala perkara buruk.


Apabila mantapnya kefahaman ini maka di tahap inilah hati seseorang akan melihat kudrat


Allah SWT menguasai segala sesuatu yang dilihatnya.


Sumber dari Arkib 15 julai 2011/utusan online...

Thursday, June 9, 2011

BINGKISAN YANG TERLEWAT

Assalamualaikum bertemu kembali dalam coretan kali ini setelah lama tidak bersua....ana aasif...untuk kali ini,tidaklah semenarik mana pon entri ini tapi hanya sebagai cicipan minda anda.Saya sajikan intisari kali ini dengan ulasan dua buah novel yg paling disukai ramai dan diminati oleh peminat hasil karya Ust A.Ubaidillah Alias ni.


Sebenarnya ulasan ni saya sediakan untuk dihantar ke pertandingan mengulas novel namun apakan daya,rezeki tidak menyebelahi mungkin...saya terlewat tarikh tutupnya...Jadi,tanpa mensia2kan keringat saya mengulas novel nih,apa kata saya letak dlm blog ja..trplang kpd anda....









ULASAN NOVEL MENGINTAI CINTA KHALIFAH



Novel ini mengetengahkan kisah dan situasi mutakhir yang hangat diperkatakan pada zaman era globalisasi kini di samping cereka cinta berlandaskan syariat yang didambakan oleh Sang arjuna  iaitu watak utamanya, Imran yang sedang mencari-cari legasi al-khalifah yang sebenar. Penulis melakarkan tiga watak utama juga penggerak cerita  dalam kisah ini iaitu Imran,Laila dan Nanda Gracer.

Selain itu, penulis menggunakan latar dan keindahan negeri digelar ‘Serambi Mekah’ iaitu Negeri Kelantan dalam novel ini jadi pembaca dapat menilai dan membayangkan sendiri bagaimana indahnya hidup di bumi Tuhan ini di samping ketamadunan islamnya yang unggul. Nah,maka itulah penulis membocorkan agenda-agenda rahsia lagi jahat segalanya tentang organisasi-organisasi yang dibangunkan untuk menjatuhkan umat Islam hari ini.Tamsilnya,Kelantan dijadikan sebagai pemula dalam kisah ini untuk diselongkarkan kelemahan-kelemahan Islam kita bagi menerapkan dakyah-dakyah zionis mereka seperti racun yang dititikkan ke dalam minuman sebelum diminum. Antaranya agenda Freemason yang semakin popular mutakhir ini disebalik topeng Yahudi yang bukan kita tidak tahu semakin lama semakin mencucuk seperti duri dalam daging.Mereka sedaya upaya dengan giatnya menyerapkan lima senjata untuk menyerang pemikiran  masyarakat Islam kini iaitu sex,screen,sport,smoke and song supaya menjadi lebih efektif dan semakin membunuh golongan Islam kita apatah lagi pemuda pemudi Negara kita. Sudahnya,dengan permainan kotor mereka ini,impak yang diperoleh sungguh lumayan.Lihat sahaja dewasa ini sungguh ramai belia remaja kita telah kehilangan identiti dan mencari-cari arah tuju hidup sendiri.Kerana apa?Kerana pemikiran mereka telah diorganisasikan oleh agenda busuk itu.Lihatlah! Secara automatiknya remaja kita membuang agama Islam sesuka hati mereka seterusnya menjadikan budaya ‘Hedonisme’dan –isme-isme’ yang lain sebagai paksi mereka bertuhan.Inilah senario mutakhir yang dimaksudkan di atas tadi. Senator Illuminati merupakan pemikir atau tulang belakang kepada Freemason.Itu yang penulis benar-benar tekankan waima dengan membongkar kembali sejarah-sejarah lama sekalipun.Pembaca dapat mengetahui input-input tentang Freemason yang semakin meluas ini melalui novel ini.

Tambahan juga,penulis juga ada mengetengahkan tentang adab-adab berkasihan dan membentuk Baitul Muslim dalam ruang lingkup agama kita sendiri. Di samping itu juga,penulis ada menzahirkan penggarapan surah-surah Al-Quran dalam kehidupan seharian kita sendiri di samping juga hokum-hukum agama juga ada diselitkan misalnya hokum menutup aurat. Maka dengan elemen-elemen seperti itulah telah menggazetkan sebenarnya betapa indahnya agama Islam itu sendiri kerana Islam mempunyai Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah dan Islam juga agama yang mempunyai undang-undang yang mana merangkumi semua aspek dan ruang lingkup kehidupan. Malah semua etika,batasan dan perundangan ini bersumberkan Al-Quran dan hadis.Bukan sekadar tin kosong. Inilah persoalan-persoalan dan tajuk utama yang ingin dizahirkan oleh penulis melalui watak utamanya iaitu Imran yang mana mencari-cari erti seorang khalifah itu untuk menyampaikan kebenaran sekaligus ingin membiaskan cinta itu menjadi sebuah legasi menuju syurgawi.Jadi,perwatakan-perwatakan yang baik diserapkan dalam personaliti Imran tetapi selagi namanya manusia,mana mungkin ada yang sempurna. Dia juga ada melakukan kesilapan pada permulaan cerita yang mana dia menyambut cinta  Laila yang mana ketika itu masih di alam persekolahan,masih remaja yang mencari arah tuju.Penah tersesat namun dia bangkit mencari sekelumit semangat apabila berkeputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir sekaligus mencari Nur yang hilang pada dirinya.Walaupun Laila menghalangnya demi tidak rela kekasihnya menjadi seorang agamawan.Lantas Laila memutuskan untuk berkahwin dengan Izani,sebagai watak sampingan. Malangnya,Laila tersilap percaturan. Hidupnya terkandas di tengah lautan.

Sementelahan itu,watak ketiga iaitu Nanda Gracer,seorang pengkaji kelemahan sifat insan seorang Islam itu juga masih mencari-cari hakikat manusiawi sebenar melalui perhubungan dengan watak utamanya iaitu Imran. Nanda seorang pengkaji dan juga seorang suruhan yang baik kepada ketuanya tetapi sekian lama terperangkap dalam abdi kini dan mengintai-intai peluang untuk melepaskan dirinya daripada kancah agenda jahat Illuminati itu dan sekaligus menarik diri untuk terus bersubahat. Jadi dengan bantuan Imran, dia memasang langkah yang sistematik bagi mencuci tangannya daripada darah-darah jahat itu.

Pada pengakhiran cerita ini,penulis merangkumkan semua lelah-lelah dugaan dan cabaran itu sebagai bunga-bunga kebehagiaan apabila Laila kembali disunting sebagai permaisuri hatinya dan sekaligus memberi pengakhiran yang baik kepada novel ini. Jadi pembaca sangat berpuas hati dengan kisah dan persoalan-persoalan yang tersingkap satu persatu ini. Jalan ceritanya yang ditampilkan oleh penulis juga berbeza sambil pembaca dapat menyelami ilmu yang terdapat di dalamnya. Bak kata pepatah ‘Sambil menyelam minum air’.

Sebagai kesimpulannya,saya sebagai pembaca sangat gembira dan sungguh berpuas hati dengan novel ini. Di samping,harganya yang tidak terlalu membebankan,segala isi kandungannya amat bermakna.







ULASAN NOVEL KALA CINTA & WAHYU BERSATU




Novel ini merupakan kesinambungan kisah daripada novel Warkah Cinta Berbau Syurga.Dalam episod kisah kali ini pula,penulis menampilkan banyak watak yang tidak kurang pentingnya seperti watak utamanya iaitu Amir Mukhlis,Balqis dan watak-watak yang lain seperti Wardah,Tasnim dan Ustaz Hamdi. Penulis melakarkan cerita yang mana Amir Mukhlis yang mengembara ke Bumi Kinanah mencari selautan ilmu yang mampu namun terpaksa pulang ke Malaysia untuk bertarung antara hidup dan mati namun penulis menghadirkan watak Ustaz Hamdi untuk Amir bagi meniupkan semula semangat Amir untuk terus berjuang dalam hidup.

Tambahan lagi,penulis juga menghidupkan watak-watak cinta yang mendesak dan menuntut kasihnya si Amir Mukhlis. Antaranya,watak Balqis yang berniat murni untuk mencari pemuda yang mempunyai sifat-sifat khalifah seperti Amir sebagai pasangan hidupnya. Balqis juga merupakan penuntut Al-Azhar. Namun begitu, liku-liku hidup Balqis juga diwarnai dengan hadirnya pemuda bernama Izzudin yang mengharapkan kasihya Balqis tetapi Balqis masih jua mendambakan dan berdoa supaya dipertemukan dengan seorang pria sebaik Amir Mukhlis itu. Selain itu,jambatan kisah cinta tidak hanya ternoktah antara Amir Mukhlis dengan Balqis namun diwarnai juga dengan cinta Amelia,iaitu sepupu Amir Mukhlis dan juga teguhnya legasi cinta Wardah yang ingin dimerdekakan oleh Tasnim. Secara tuntasnya,pelbagai persoalan cinta yang ingin dibicarakan oleh penulis dalam novel ini.Penulis juga ingin sekali menekankan bahawa aktiviti penulisan juga tidak harus dipandang enteng dalam kehidupan yang serba rencam sekarang ini.Buktinya,penulis meletakkan watak  Amir yang menyertai aktiviti penulisan sebagai wadah perluasan dakwah kerana Allah itu. Nah! Disitulah bermulanya bibit pertemua antara Tasnim dengan Amir yang sama-sama memperjuangkan dakwah melalui penulisan.

Sementelahan juga,cinta Amelia juga hadir menghimpit fikiran Amir Mukhlis.Keluarga Amelia dan keluarga Amir masing-masing sudah memeterai janji bahawa mereka akan disatukan namun Amir menarik hatinya daripada digapai oleh Amelia kerana baginya Amelia sudah dianggap seperti saudara sendiri. Persoalan-persoalan cinta yang diwujudkan oleh penulis inilah menjadikan novel ini lebih menarik dan berwarna-warni. Benarlah yang dikatakan oleh penulis Ilham Hamdani itu bahawa “kalaulah karya-karya A.Ubaidillah Alias ini adalah musim-musim berempat,novel ini Kala Cinta & Wahyu Bersatu ini adalah musim seminya,berwarna-warni!”.Nah,sudah terang lagikan bersuluh.Novel ini sangat mantap dan membuka pemikiran remaja muda-mudi zaman sekarang untuk melakarkan cinta mereka seperti yang dikehendakkan oleh syariat. Oleh sebab itulah,novel ini menjadi novel Islami “mesti baca” oleh semua remaja kita. Diselitkan juga adab-adab berkasihan yang sepatutnya dan juga rangkaian-rangkaian doa kepada Allah supaya mendapatkan perkara yang baik-baik. Tidak seperti yang dilihat pada zaman sekarang, gejala sosial semakin meluas kebejatannya,jadi inisiatif para penulis seperti Ustaz Ubaidillah ataupun Ustaz Cinta ini yang bertujuan menyelami hati muda-mudi zaman ini dan menggunakan pendekatan yang baik untuk menyebarkan ilmu dan dakwah perlu diteruskan dan dicontohi oleh penulis lain atau para pembaca.Jadi,pahala dapat dihimpunkan disitu.InsyaAllah!.

Kesimpulannya,novel dan karya seperti ini sangat bagus dan bermanfaat buat tatapan para pembaca yang bebas daripada khayalan-khayalan cinta yang mengasyikkan sekaligus mendatangkan mudarat kepada diri sendiri,alangkah baik jika kita telusuri kisah-kisah yang membawa kebaikan seperti ini.Penulis merupakan seorang penggerak dunia penulisan yang bagus dan sangat berbakat malah berpotensi untuk melangkah dengan lebih jauh.InsyaAllah saya doakan kepada penulis A. Ubaidillah Alias.Tahniah dan syabas kepadanya!






Thursday, October 28, 2010

GURINDAM BAHASA KITA

Bahasa Melayu bahasa ibunda
jadi pertuturan di Nusantara.


Bahasa Melayu bahasa kebangsaan
telah termaktub dalam perlembagaan.


Bahasa kita ayuh daulatkan
biar betul kita gunakan.


Bahasa baku dipertuturkan
lemah lembut lagi bersopan.


Cuba elak bahasa pasar
bunyi dan rentak tak sedap didengar.


Betul nahu dan juga ejaan
perkara utama dalam penulisan.


Jangan ejaan kita ringkaskan
sampai ia jadi pencemaran.


Bahasa SMS kita namakan
sehingga sakit pada pandangan.


Daulatkan bahasa tanggungjwab kita
seluruh rakyat dan warganegara.


Agar kekal sepanjang zaman
ayuhlah sama-sama kita daulatkan


Ini gurindam bahasa kita
sesudah dibaca bertindak segera.




-As Syrami-
dewan bahasa oktober 2010